Fahmi panggil TikTok, susulan dakwaan sekat kandungan berkaitan Palestin
Pengendali aplikasi TikTok akan dipanggil bagi memberi penjelasan berikutan aduan netizen mendakwa terdapat sekatan berkaitan kandungan Palestin di platform tersebut.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil berkata isu itu berbangkit, apabila pengguna mendapati kandungan yang dihasilkan mereka yang mempunyai perkataan seperti Hamas termasuk beberapa perkataan lain, diturunkan secara automatik oleh pihak terbabit.
“Ada pengguna yang menyatakan content (kandungan) yang dimuat naik pada pukul 1.20 dan pada 1.21 content itu telah diturunkan, susulan kononnya terdapat pelanggaran pada garis panduan komuniti.
“Dalam isu ini saya telah berhubung dengan pihak TikTok untuk mendapatkan penjelasan.
“Tapi, penjelasannya bagi saya tidak memuaskan, jadi saya mungkin akan minta panduan daripada Wisma Putra tentang beberapa perkara dan akan panggil (pengendali TikTok),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri himpunan setiakawan untuk Palestin anjuran Viva Palestina Malaysia dan MyCare di Dataran Merdeka pada Ahad.
Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan beliau sendiri juga ada menerima mesej kononnya daripada pihak Meta (Facebook), berhubung sekatan pada kandungan berkaitan solidariti namun, mesej yang diterima itu didapati tidak benar.
“Apabila saya rujuk pihak Meta yang menjaga rantau Asia Tenggara, mereka menyatakan itu adalah mesej yang tidak benar dan bukannya daripada pihak Meta. Pada waktu ini tiada sekatan terutamanya di Facebook,” tambahnya.