Semasa

KKM bakal bangun pelan tindakan kesihatan mental kanak-kanak dan remaja

Kementerian kesihatan (KKM) menyatakan rasa bimbang atas peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini.

Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata, berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) dikeluarkan pada 14 Okt lalu, seramai 424,000 orang kanak-kanak di negara ini mengalami isu kesihatan mental sepanjang tahun lepas dan trend ini dilihat semakin meningkat pasca Covid-19.

Justeru bagi menangani isu tersebut, pihak kementerian akan membangunkan satu pelan tindakan kesihatan mental untuk golongan itu.

“Pelan tindakan kesihatan mental kanak-kanak dan remaja akan dibangunkan supaya masalah ini tidak menjadi semakin teruk sehingga ke peringkat membunuh diri,” katanya.

Dr Zaliha ditemui pemberita selepas melancarkan ‘Kempen Kesihatan Mental Milik Semua, Hentikan Stigma’ sempena majlis Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023 peringkat kebangsaan, di Petaling Jaya, Selangor pada Ahad.

Beliau turut melancarkan Modul Latihan Pencegahan Bunuh Diri untuk Responder Pertama yang bertujuan meningkatkan ilmu pengetahuan dan melatih petugas barisan hadapan dalam mengendalikan kes tingkah laku bunuh diri dan Modul Latihan Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) untuk melatih anggota kesihatan lain seperti pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan dan paramedik di klinik kesihatan seluruh negara.

Sementara itu beliau turut menjelaskan, literasi rakyat Malaysia mengenai kesedaran untuk menjaga kesihatan mental masih rendah dan KKM akan melaksanakan pelbagai pendekatan supaya rakyat lebih tahu mengenai kepentingan kesihatan mental terutama ketika pandemik.

Dr Zaliha berkata semua pihak perlu memainkan peranan untuk menjaga, memelihara dan menangani masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat, serta stigma dan persepsi negatif terhadap individu yang mempunyai masalah mental perlu dihapuskan.

Related Articles

Back to top button