Semasa

KPKT yakin PR1MA mampu siapkan 9,500 RMM menjelang akhir tahun ini

Kerajaan yakin Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), dapat menyiapkan 9,500 unit rumah mampu milik (RMM) menjelang akhir Disember

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau telah mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat PR1MA di Petaling Jaya, Jumaat lepas dan telah menerima taklimat daripada Pengerusi PR1MA Datuk Azrulnizam Abdul Aziz serta pengurusan kanan agensi perumahan tersebut.

“Saya juga dimaklumkan bahawa PR1MA akan menyelesaikan kesemua 24 projek sakit yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu,” katanya dalam kenyataan itu.

Ketika lawatan tersebut juga, Nga telah dimaklumkan berkenaan usaha penyediaan 53,646 unit kediaman PR1MA di seluruh negara.

Projek itu juga jelasnya akan turut memberi penekanan kepada pembangunan komuniti daripada pelbagai aspek seperti kesejahteraan dan keselamatan, sosioekonomi dan pembangunan sosial para penduduknya.

“Rumah-rumah ini akan dibina mengikut lima prinsip penting iaitu kebolehcapaian, kebolehdiaman, ketersambungan, komuniti yang baik dan kemampanan, untuk memenuhi keperluan perumahan masa kini dan masa hadapan,” tambahnya sambil menjelaskan KPKT komited untuk membina 500,000 unit rumah mampu milik menjelang 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

Menyentuh mengenai projek perumahan sakit, KPKT jelasnya telah menyelamatkan 256 projek perumahan dengan nilai pasaran RM23.37 bilion sejak penubuhan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST).

Related Articles

Back to top button