Global

Malaysia perlu kukuh hubungan unik dengan Arab Saudi – PM Anwar

Kerangka Kerjasama 2024-2028 antara blok ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) melalui Sidang Kemuncak di Riyadh pada Jumaat disifatkan sebagai sangat bersejarah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika wawancara Arab News berkata, kerjasama strategik itu telah dibincangkan selama bertahun-tahun, sehingga Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman memutuskan untuk menjadi tuan rumah, dengan Malaysia menjadi penyelaras bagi pihak ASEAN.

“Ini bersejarah dalam erti kata GCC dan ASEAN adalah dua kumpulan serantau kecil yang sangat bertenaga dari segi ekonomi, dan kami menjalin kerjasama ini tanpa pengaruh kuasa besar.

“Kami menyelesaikan beberapa parameter mengenai bagaimana untuk meningkatkan lagi isu perdagangan dan mekanisme untuk memupuk perdagangan pelaburan,” katanya pada wawancara tersebut.

Menyentuh mengenai hubungan bilateral dan kerjasama antara Malaysia dan Arab Saudi, Anwar menyifatkan hubungan dan kepercayaan antara dua negara sebagai ‘agak unik’ dan berharap dapat mengukuhkan lagi kerjasama itu.

Jelasnya, walaupun beberapa syarikat besar dari Malaysia dan Arab Saudi telah bekerjasama, dengan tumpuan kepada projek infrastruktur termasuk tenaga hijau serta maklumat dan teknologi (IT), kedua-dua negara boleh meneroka bidang yang lebih khusus.

“Saya berpendapat itulah secara amnya mengapa pertemuan seperti ini penting. Sebab itu bukan sahaja Menteri Luar, bahkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri juga (ada) di sini kerana mereka perlu membuat tindakan susulan mengenai bidang khusus yang boleh kita terokai,” jelasnya.

Malaysia dan Arab Saudi pada Sabtu bersetuju membentuk sebuah jawatankuasa peringkat menteri bagi membawa jalinan kerjasama perdagangan, pelaburan dan ekonomi kedua-dua negara ke tahap baharu.

Difahamkan, Jawatankuasa ini akan memantau perkembangan perdagangan, pelaburan dan ekonomi antara kedua-negara serta prospek kerjasama pada masa akan datang

Dalam satu lagi wawancara dengan akhbar antarabangsa Arab Asharq Al-Awsat, Anwar berkata kerjasama dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi perlu dikekalkan, memandangkan banyak syarikat Malaysia kini mengambil bahagian dalam projek besar di Riyadh dan zon ekonomi khas NEOM, dalam pelbagai bidang.

Justeru kata Anwar, Malaysia bersedia bersedia untuk memeterai kerjasama baharu dengan Arab Saudi dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi hijau.

“Kerajaan di bawah kepimpinan Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, kini telah melonjakkan pelaburan pembangunan pelaburan dengan cara yang hebat.

“Justeru, Malaysia, seperti yang anda tahu, perlu mengekalkan kerjasama dua hala ini,” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Sebagai rekod, Arab Saudi ialah rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan dua hala mencatatkan US$10.26 bilion pada 2022, meningkat 159.2 peratus daripada 2021 (US$1=RM4.77).

Antara projek utama Arab Saudi di Malaysia ialah Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor oleh Saudi Aramco.

Related Articles

Back to top button