Politik

Tunggu PRU, Pas digesa hormat mandat rakyat

Parti PAS digesa supaya berhenti dari terus berangan akan mengambil alih pentadbiran negeri Perak dalam masa terdekat.

Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi menegaskan perkara itu tidak akan berlaku kerana pentadbiran kerajaan Perak disertai Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) ketika ini berada dalam kedudukan kukuh.

Bukan sekadar itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak jelasnya terikat dengan undang-undang yang menghalang mereka melompat parti.

“Pas seharusnya berhenti berangan. Mereka perlu menerima hakikat keputusan yang dipilih rakyat yang tidak mahu Pas memerintah negeri ini. Tunggulah sehingga PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang untuk jadi kerajaan,” tempelaknya.

Asmuni berkata begitu sebagai mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS Perak, Mohd Fakhrudin Abd Aziz pada Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 yang mengharapkan parti itu dapat memerintah negeri berkenaan dalam masa terdekat.

Smentara itu Asmuni menggesa pemimpin pembangkang supaya menghormati kehendak rakyat dan tidak terus melakukan tindakan yang boleh menyebabkan ketidaktentuan politik.

“Hormatilah kehendak rakyat. Biar kerajaan sedia ada meneruskan pentadbiran tanpa gangguan daripada mana-mana pihak,” tambahnya.

Hubungan PH dan BN diperak dianggap unik kerana kedua-dua gabungan itu yang berseteru sejak sekian lama membuat keputusan berdamai dan bekerjasama untuk membentuk kerajaan negeri.

Keputusan itu boleh dianggap merintis kepada kerjasama antara BN dan PH serta parti komponen lain dalam kerajaan susulan kebuntuan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 19 November tahun lalu.

Related Articles

Back to top button