Negeri

SIBS catat potensi pelaburan cecah RM4 bilion, melebih sasaran ditetapkan – Amirudin

Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) yang berakhir semalam dianggap sebagai berjaya.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, edisi ketujuh yang diadakan sejak 19 Oktober itu mendapat sambutan luar biasa khususnya daripada pemain industri merentas sektor.

Acara kendalian Invest Selangor Berhad (Invest) itu juga telah menarik penyertaan kira-kira 50,000 pengunjung termasuk luar negara.

“Jumlah ramai ini menunjukkan komitmen besar daripada komuniti perniagaan dan kita sediakan perkhidmatan untuk mereka bincang serta cari titik kombinasi yang melahirkan memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (SRIE) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu.

Amirudin sementara itu berkata SIBS 2023 turut mencatat nilai potensi pelaburan mencecah RM4 bilion setakat Sabtu, mengatasi sasaran RM1.5 bilion.

“Setakat ini RM4 bilion tetapi angka rasmi akan dikeluarkan penganjur dalam seminggu dua lagi untuk melihat keseluruhan kejayaan program ini.

“Selepas ini paling penting bukan kumpul MoU, tetapi bagaimana mahu ‘materialise’ benda ini. Sebahagian besar patut digerakkan peniaga itu sendiri kerana akhirnya ini melibatkan kewangan mereka dan peluang untuk kembangkan perniagaan,” katanya.

Menyediakan hampir 1,050 reruai, SIBS yang dianjur sejak 2015 membuka potensi penerokaan bidang baharu termasuk inovasi dan teknologi selain menjamin masa depan generasi muda.

SIBS menampilkan enam acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman), Ekspo Antarabangsa Selangor (Perubatan), Ekspo Taman Perindustrian Selangor, Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan serta Inovasi Selangor dan Persidangan Perniagaan Asia.

Antara negara luar yang mengambil bahagian pada acara itu adalah dari China, Indonesia, Japan, Uganda, Vietnam, Kazakhstan, Korea, Turki, Kenya dan Australia.

Related Articles

Back to top button