Berpolitik dengan matang, tak perlulah fitnah isteri PM – AMK Johor
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menegaskan rasa kecewa terhadap tindakan pihak tertentu cuba merosakkan reputasi Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Merujuk gambar perjumpaan isteri-isteri pemimpin dari setiap negara pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di Amerika Syarikat 21 September lalu yang dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab, AMK Johor menegaskan, ia sengaja disebarkan bagi menanam kebencian terhadap isteri Perdana Menteri itu.
“Perjumpaan tersebut merupakan sebuah tradisi yang diadakan sebagai pentas meraikan semangat demokrasi untuk isteri-isteri pemimpin dari setiap negara untuk beramah mesra dan berkongsi pandangan terhadap isu-isu semasa.
“Majlis tersebut turut dihadiri oleh isteri Perdana Menteri Turkiye, Emine Erdogan yang dilihat mesra dengan Wan Azizah.
“Bagaimanapun, situasi itu cuba diputar belit kononnya Wan Azizah akrab dengan isteri Perdana Menteri Israel, Sara Nentanyahu,” menurut kenyataan media tersebut.
AMK Johor turut menyifatkan fitnah tidak berasas itu boleh menjejaskan hubungan baik kerajaan Malaysia dan Palestin yang terjalin selama ini.
Sebagai rekod, tiga laporan polis terhadap empat pemilik akaun media sosial telah difailkan susulan penularan fitnah mengaitkan Dr Wan Azizah dengan Israel.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di Kuala Lumpur semalam bagi menggesa siasatan dan tindakan diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab tersebut.
Sementara itu, AMK Johor dalam kenyataan sama menegaskan, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehinggi kini telah menunjukkan komitmen dalam membela Palestin termasuk dengan menyalurkan dana lebih RM10 juta bagi membantu kegiatan kebajikan dan kemanusiaan di Palestin.
Malah Anwar sepanjang minggu lalu sendiri mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan ramai pemimpin Islam bagi membantu Palestin selain mendesak agar tekanan kuat diberikan rejim Israel menghentikan serangan terhadap orang awam Palestin.
“AMK Johor juga mengharapkan agar semua pihak menjunjung semangat politik matang dan tidak menggunakan isu sensitif untuk kepentingan politik masing-masing.
“Selain itu AMK Johor juga secara konsisten menyatakan solidariti terhadap saudara di Palestin dan menyokong segala inisiatif kerajaan Malaysia dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya.