Dana jaminan khas dicadang bagi membaikpulih projek sakit – Akmal Nasir
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mencadangkan untuk menggunakan dana jaminan khas bagi projek perumahan mampu milik bawah RM300,000 dan bagi projek yang sudah melepasi sekurang-kurangnya 80 peratus status kemajuan.
Katanya, cadangan berkenaan bagi memulihkan projek terbengkalai sepertimana diumumkan dalam Belanjawan 2024, akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.
“Selain itu kita juga melihat kepada program perumahan di bawah agensi kerajaan Persekutuan dan pihak berkuasa negeri khususnya projek perumahan mampu milik yang berdepan risiko menjadi projek sakit,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) berhubung kaedah yang dilaksanakan kerajaan bagi menyelesaikan isu projek perumahan diklasifikasikan sebagai projek sakit atau terbengkalai.
Menjawab soalan asal Zahir berhubung Akaun Pembangunan Perumahan (HDA) bagi projek perumahan, Akmal Nasrullah mendedahkan setakat ini Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membekukan 20 akaun HDA bagi projek dalam kategori sakit.
Menurutnya, pembekuan tersebut berdasarkan siasatan terhadap pemaju yang mengabaikan tanggungjawabnya sekali gus boleh menjejaskan kepentingan peribadi.
Tambahnya, KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) juga sentiasa memastikan pemaju perumahan berlesen patuh terhadap peruntukan yang telah ditetapkan berkaitan HDA.