Nasional

Data dan statistik oleh DoSM adalah ’emas’ baharu untuk Malaysia

Kementerian Ekonomi menganggap data dan statistik dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) adalah ’emas’ baharu untuk Malaysia.

Ketua Setiausahanya, Datuk Nor Azmie Diron berkata, kedua-dua perkara itu sangat penting dan ia diraikan menerusi Hari Statistik Negara (HSN) yang disambut pada 20 Oktober setiap tahun.

“Sambutan ini merupakan satu manifestasi bahawa negara kita menghargai data dan statistik, selain perlu diuruskan dengan baik.

“Untuk itu, ’emas’ yang kita ada ini dapat digunakan sebaiknya untuk kepentingan negara secara keseluruhannya,” katanya.

Terdahulu, beliau yang mewakili Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian sambutan HSN ‘Yuk Mampir’ di Stadium Sungai Besar, Sabtu lalu.

Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Amri Ismail.

Dalam perkembangan berasingan, Nor Azmie berkata, bagi merancang dasar dan polisi keutamaan bekalan makanan negara, pihaknya akan menggunakan data dan statistik pertanian.

Beliau berkata, walaupun Malaysia mempunyai tanah yang subur untuk pertanian tetapi kos perbelanjaan import negara bagi makanan mencecah sehingga RM 40 bilion.

“Pengumpulan data ini penting dalam memberikan maklumat dan gambaran terbaik berkenaan keadaan terkini bidang pertanian,” katanya.

Justeru, Nor Azmie meminta semua pihaknya di peringkat negeri memberi kerjasama kepada DoSM yang akan melaksanakan Bancian Pertanian 2024 (BP 2024) tahun depan.

“Dari segi progress, semua negeri terlibat di dalam usaha untuk BP 2024 nanti dan kita tidak akan tinggalkan mana-mana negeri.

“Untuk responden pula, kita turut akanusahakan sebanyak mungkin bagi membolehkan data yang dikumpul berasaskan atau bertepatan dengan pertanian di negara kita.

“Fokus dalam BP 2024 adalah melibatkan semua sektor,” katanya.

Related Articles

Back to top button