Parlimen

Dewan Rakyat larang perbuatan label-melebal sesama sendiri

Ahli Parlimen kini dilarang daripada memberi gelaran kafir, Zionis dan Yahudi sesama ahli dewan sepanjang sesi mesyuarat diadakan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan itu dan akan mengambil tindakan sekiranya ia berlaku.

Tegasnya, sepanjang empat hari perbahasan Belanjawan 2024 diadakan minggu lalu, pelbagai hujah dan pendirian telah diutarakan termasuk yang mendorong ke arah perkara-perkara sensitif yang mengguris hati.

“Kenyataan-kenyataan (itu) mengeruhkan suasana dan menyentuh sensitiviti keharmonian (serta) bersifat label-melabel antara kita. Ini termasuk kenyataan kafir, Zionis dan Yahudi antara ahli-ahli Yang Berhormat,” katanya pada permulaan sesi soal jawab lisan semalam.

Tambah Johari, perbuatan label-melabel itu menyalahi Peraturan Mesyuarat 36(10)(c) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana menggunakan perkataan-perkataan yang menimbulkan perasaan sakit hati atau bermusuh-musuhan antara satu kaum dengan kaum yang lain di Malaysia.

“Oleh itu saya menyeru semua ahli-ahli Yang Berhormat menghentikan isu dan penyataan kafir, Zionis dan Yahudi apatah sekarang ini dalam suasana yang tidak kondusif langsung dan lain-lain perkataan yang sama maksudnya antara Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengeruhkan suasana dan menyentuh sensitiviti keharmonian.

“Yang Berhormat hendaklah menunjukkan tingkah laku yang terpuji semasa mengetengahkan isu-isu rakyat dan negara. Ahli-ahli Yang Berhormat hendaklah menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan dewan ini sebagai medan politik kumpulan mahupun individu,” tambahnya sambil menggesa perbahasan dijalankan berlandaskan isu demi membela nasib rakyat.

Related Articles

Back to top button