Parlimen

Malaysia negara kedua paling berinovatif – Lih Kang

Malaysia negara kedua paling berinovatif dalam kalangan 36 negara Kumpulan Berpendapatan Sederhana Atasan, menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Dalam kalangan negara ASEAN pula, Malaysia kekal berada di kedudukan kedua selepas Singapura.

“Negara ini juga kekal pada kedudukan ke-36 daripada 132 negara dalam laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2023, namun mencatatkan peningkatan skor kepada 40.9 tahun ini, berbanding 38.7 pada 2022,” katanya.

Katanya, peningkatan skor didorong pelbagai inisiatif antaranya penubuhan Jawatankuasa Inter-Agensi Pemantauan Daya Saing Global Innovation Index sejak 2021 melalui Pendekatan Keseluruhan Kerajaan, membabitkan semua kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan.

“Bengkel Penyelarasan Input Inisiatif Global Innovation Index sudah diadakan pada September lalu membabitkan semua kementerian dengan objektif mengumpul data yang dapat menyumbang kepada peningkatan prestasi inovasi GII.

“Sistem Model Data Global Innovation Index juga sudah dibangunkan bagi menyediakan analisis terperinci mengenai metodologi GII, pembangunan senario bagi memperbaiki kedudukan negara.

“Ia juga akan bertindak sebagai kaedah pemantauan bersesuaian untuk digunakan dalam proses membuat keputusan berdasarkan fakta.

“Hasil projek ini membolehkan kerajaan membangunkan strategi tepat bagi memperbaiki kelemahan pencapaian negara dalam indikator berkaitan,” katanya pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan R Yuneswaran (PH-Segamat) mengenai strategi inovasi dan pengkomersialan (C&I) yang akan digarap dalam penyampaian perkhidmatan awam bagi mendukung Malaysia menjadi antara 30 negara terunggul dalam GII menjelang 2025.

Mengenai sasaran GII, pihaknya akan menggiatkan usaha pengkomersialan dengan pengukuhan dan pelaksanaan Dasar Pengkomersialan Harta Intelek dan Reka Cipta Dibiayai Kerajaan 2021 hingga 2025.

Ia bagi membolehkan kementerian, jabatan atau agensi kerajaan menguruskan harta intelek (IP) dengan sistematik bagi tujuan pengkomersialan seterusnya menjana pendapatan serta pertumbuhan ekonomi negara.

“Kementerian juga bersedia membantu mendaftarkan IP bagi mana-mana inovasi berpotensi dikomersialkan, termasuk yang dihasilkan murid sekolah,” katanya.

Related Articles

Back to top button