Parlimen

Tabung Haji akan teruskan bantuan kewangan bersasar bagi musim haji 2024 – Mohd Na’im

Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneruskan bantuan kewangan haji secara bersasar untuk musim haji 2024.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, TH juga meneruskan inisiatif bantuan kewangan bersasar itu dari tahun ke tahun.

Menurutnya, ia khusus kepada golongan paling memerlukan selaras hasrat kerajaan untuk menstruktur semula subsidi secara bersasar.

“TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji bagi membantu jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji buat pertama kali dan kurang pendapatan untuk mencukupkan perbelanjaan tunai haji mereka.

“Ini adalah bersesuaian dengan peranan Lembaga Tabung Haji mentadbir semua urusan berkaitan pengendalian dan kebajikan jemaah haji Malaysia.

“TH juga sudah dan sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat melalui media, media sosial dan sesi libat urus mengenai kepentingan konsep kemampuan atau istito’ah,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jamaludin bin Yahya (PN-Pasir Salak) berkenaan bantuan kewangan kos bayaran haji secara bersasar bagi kategori B40, M40 dan T20 seperti yang telah dilaksanakan pada musim haji tahun ini iaitu 2023, akan diteruskan pada tahun hadapan dan adakah sistem ini adil bagi pendeposit Tabung Haji.

Beliau bagaimanapun mengakui TH terus berdepan dengan peningkatan kos haji kerana faktor di luar kawalan termasuk inflasi, percukaian, kadar tukaran mata wang, projek pembesaran berterusan Mekah dan Madinah menyebabkan banyak bangunan penginapan haji dirobohkan yang memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan.

“TH terus berusaha mengawal peningkatan kos dengan memeterai perjanjian kontrak jangka panjang untuk penerbangan, penginapan, sajian makanan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.

“Dengan cara ini harga dapat ditetapkan untuk satu tempoh masa dan tidak dinaikkan setiap tahun.

“Kita memahami persekitaran semakin mencabar termasuk inflasi, namun, kita akan terus memberi bantuan kewangan kepada jemaah yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Related Articles

Back to top button