Kementerian Pendidikan serius tangani isu gangguan seksual terhadap pelajar
Garis panduan pengurusan isu salah laku berkaitan gangguan seksual di institusi pendidikan sudah dikuatkuasa sejak bulan lalu, kata Menteri pendidikan, Fadhlina Sidek.
Menurutnya, melalui langkah itu tindakan tegas mengikut undang-undang di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) bakal dikuatkuasa sebagai usaha kerajaan melindungi golongan pelajar secara lebih berkesan.
“Kita sememangnya komited dengan kenyataan dan peringatan itu dan di peringkat KPM, kita sudah beri komitmen sepenuhnya (dalam menangani isu gangguan seksual ke atas pelajar).
“Sebab itu saya fikir penting untuk saya memperingatkan bahawa KPM tempoh hari sudah meluncurkan garis panduan pengurusan gangguan seksual di peringkat institusi pendidikan.
“Ini menunjukkan kita memandang serius kes pelajar yang menjadi mangsa penderaan seksual,” katanya.
Fadhlina berkata begitu pada sidang media selepas melancarkan satu program di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), di Alor Setar pada Selasa.
Mengulas lanjut, Fadhlina berharap kes berkaitan salah laku dan gangguan seksual di institusi pendidikan dapat dinoktahkan melalui pengenalan garis panduan yang perlu dipatuhi setiap warga kementerian berkenaan.
“Ini bukan sekadar garis panduan, tetapi menunjukkan keseriusan kita memastikan isu berkait rapat gangguan seksual ini benar-benar ditangani di peringkat KPM.
“Kita berharap seluruh warga KPM memberi komitmen dalam pelaksanaan garis panduan ini bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan segera,” jelasnya.