Semasa

Kerajaan tak bercadang laksana dasar tamatkan hayat kenderaan lama

Kerajaan tidak bercadang melaksana dasar bagi menamatkan hayat kenderaan ‘berusia’ ketika ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke

Bercakap dalam sidang media selepas pelancaran Forum Kelestarian Persekitaran Pengangkutan Serantau Asia Peringkat Tinggi ke-15 di Kuala Lumpur pada Selasa, beliau menjelaskan dasar itu tidak sesuai dilaksana ketika ini dengan mengambil kira keadaan sosial ekonomi rakyat Malaysia.

“Ya betul (banyak kenderaan kenderaan berusia di atas jalan raya). Kita tidak ada dasar untuk menamatkan hayat kenderaan, tidak seperti negara maju lain atas alasan praktikal. Kita tidak boleh laksanakan (dasar) untuk tamatkan hayat kenderaan (di negara ini).

“Kita kena faham juga keadaan sosial ekonomi dalam negara. Apa saja perubahan walaupun kita mahu menjurus kepada kelestarian, mengurangkan pelepasan karbon, tetapi dasar-dasar yang kita perlu laksanakan mesti juga mengambil kira keadaan sosial ekonomi dalam negara kita,” katanya.

Beliau sementara itu berkata, kerajaan tidak mahu memperkenalkan persekitaran atau keadaan di mana rakyat tidak mampu untuk terbabit dengan perubahan sedemikian.

Apa-apa perubahan yang mahu dibawa kerajaan jelasnya mesti dibimbing, dilaksanakan secara berperingkat dengan kerajaan juga harus memainkan peranan untuk membantu proses adaptasi kepada perubahan seperti dikehendaki.

Beliau ketika menyentuh peranan kerajaan bagi menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon berkata untuk permulaan kerajaan memberikan insentif untuk pembelian motosikal EV sehingga RM2,400 menerusi pengumuman dalam Belanjawan 2024.

Jika ada sambutan daripada rakyat, katanya sudah tentu ini dapat mengubah landskap penggunaan motosikal kerana separuh dari 30 juta kenderaan dalam negara terdiri daripada motosikal.

“Jadi motosikal juga menyumbang kepada pelepasan karbon yang besar. Jadi dengan dasar ini atau langkah ini (pemberian insentif), kita mengharapkan satu permulaan ke arah penggunaan e-motobike yang lebih besar di negara kita,” katanya.

Related Articles

Back to top button