Semasa

Majlis Raja-Raja titah kerajaan terus pro-aktif bela Palestin di pentas antarabangsa

Majlis Raja-Raja menzahirkan rasa dukacita dan gusar susulan belum ada kata sepakat dari kuasa-kuasa besar dunia dalam mencari penyelesaian kepada konflik Palestin-Israel.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, Majlis Raja-Raja menggesa kerajaan untuk terus bersuara membela rakyat Palestin.

Majlis Raja-Raja turut menggesa Malaysia membantah penindasan serta kezaliman yang berterusan rejim Zionis Israel di pentas antarabangsa atas tanggungjawab kemanusiaan.

“Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja telah berkenan dengan sepakat mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan, penindasan dan kezaliman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin, apatah lagi melibatkan kematian terutamanya kaum wanita dan kanak-kanak,” kata Syed Danial.

Melalui kenyataan sama, beliau memaklumkan, Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja menyokong dan berpegang teguh dengan pendirian kerajaan selama ini bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel.

Justeru mahu Kerajaan Malaysia terus mengambil inisiatif dan langkah pro-aktif di pentas antarabangsa bagi mencari jalan penyelesian kepada konflik Palestin-Israel.

Terdahulu, Raja-Raja berkenan menghadiri sesi Pra-Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-262 di Istana Negara bagi berbincang dan bertukar pendapat berkenaan konflik Palestin-Israel yang masih berlarutan sejak 7 Oktober lalu.

Dalam masa yang sama, Syed Danial berkata Majlis Raja-Raja menyeru seluruh rakyat supaya terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menghulurkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban dan penderitaan mereka.

Rakyat tanpa mengira bangsa dan agama turut diseru untuk bersama berdoa agar konflik Palestin-Israel ini dapat dihentikan dengan segera serta rakyat Palestin dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Zionis Israel.

“Masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri untuk terus mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah S.W.T untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin,” tambah kenyataan itu lagi.

Related Articles

Back to top button