Negeri

PM Anwar gesa kerajaan negeri gubal pelan kepelbagaian biologi, selari DKBK 2022-2030

Perdana Menteri menyarankan kerajaan-kerajaan negeri agar menggubal pelan kepelbagaian biologi masing-masing selari dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022-2030.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia kini menjadi antara negara yang terkehadapan dalam mengkaji semula Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan, dan langkah seterusnya perlu diambil setiap kerajaan negeri supaya dasar yang digubal terus relevan dengan keperluan semasa dan setara dengan tuntutan di peringkat antarabangsa.

“Saya dimaklumkan setakat ini Malaysia adalah negara ASEAN pertama yang berjaya melaksanakan semakan semula ke atas dasar kepelbagaian biologi peringkat kebangsaan.

“Malah, Malaysia juga mengintegrasikan semakan semula dasar itu selari dengan kerangka kepelbagaian biologi peringkat antarabangsa iaitu Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework,” katanya sempena Majlis Perasmian Persidangan Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2023 dan Pelancaran DKBK 2022-2030 di Putrajaya.

Teks ucapan Perdana Menteri itu dibacakan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Sementara itu jelas Anwar, Malaysia amat bertuah kerana dilimpahi dengan kekayaan sumber biologi, malah diiktiraf sebagai salah satu daripada 17 buah negara megadiverse iaitu antara negara yang paling kaya dengan kepelbagaian biologi.

Walau bagaimanapun, usaha-usaha untuk meningkatkan pengurusan kepelbagaian biologi sememangnya mencabar kerana terletak di bawah bidang kuasa negeri dan ia juga bidang yang merentasi sektor.

Justeru, bagi memperkukuh dan merancakkan agenda pemuliharaan kepelbagaian biologi di negara ini, beberapa inisiatif telah diambil seperti penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF), Majlis Biodiversiti Pahang; Sarawak Biodiversity Centre dan Sabah Biodiversity Centre.

“Aspek pemuliharaan kepelbagaian biologi perlu diintegrasikan dalam perancangan pembangunan negara dan proses pembuatan keputusan.

“Kerjasama antara pusat dan negeri juga boleh diperkukuh seperti Dasar Perhutanan Malaysia, Rancangan Fizikal Negara; Rancangan Fizikal Zon Pesisir Pantai Negara; dan Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine,” tambahnya.

Anwar turut berkata, kepelbagaian biologi juga penting dalam menjana ekonomi negara, malah kajian menunjukkan nilai ekonomi bagi perkhidmatan ekosistem di Taman Negara Pahang, Terengganu dan Kelantan sahaja dianggar sebanyak RM1.7 billion setahun.

Related Articles

Back to top button