PM Anwar tidak tunduk, gentar dengan ugutan dari negara luar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau menerima banyak ugutan daripada negara luar, susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.
Anwar berkata, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, beliau selaku ketua kerajaan tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan.
Menurutnya, sebagai negara berdaulat, Malaysia akan kekal bebas dan akan terus mempertahankan kebebasan negara dan juga memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin.
“Selagi saya diberi mandat oleh rakyat, saya tidak akan terima ugutan sebegitu. Bagi kita lawan tetap lawan. Saya bagi tahu kamu salah pilih orang,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Selasa.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengkritik sikap berat sebelah Amerika Syarikat yang hanya mengecam Rusia berhubung isu Ukraine, tetapi bertindak menyokong Israel dalam isu pencerobohan Palestin.
Anwar berkata, sokongan Amerika Syarikat dan Eropah, membuatkan Israel menjadi terlalu angkuh dan seperti satu kegilaan untuk membenarkan pembunuhan bayi dilakukan sedemikian rupa, ketika hospital dan sekolah musnah dibom.
“Ia satu kegilaan untuk membenarkan pembunuhan manusia dan bayi, hospital dibom, sekolah dimusnahkan, ini tindakan kejam. Kita boleh lihat apabila Israel langgar (ceroboh) Palestin, mereka diam. Ini hukum apa? Ini hukum rimba,” katanya.
Perdana Menteri turut berkongsi penghormatan tinggi yang diberikan negara-negara Arab seperti Qatar, Bahrain dan Mesir kepada Malaysia, atas peranan dimainkan dalam mengangkat isu konflik Palestin-Israel.
Anwar berkata, bagaimanapun kebanyakan pemimpin negara Islam yang beliau temui baru-baru ini, mengakui konflik Palestin ialah satu isu yang sukar ditangani dengan mudah.
Perdana Menteri berkata, perkara ini berpunca daripada sikap ego dan sombong Israel yang meraih sokongan kuat Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK).
“Masa depan mereka (penduduk Palestin) sangat malap, kemungkinan tentera Israel akan ceroboh Gaza. Keadaan sangat getir dalam beberapa minggu ini, kematian lebih ramai di bawah tangan Israel.
“Kita yakin dengan pertolongan ALLAH, namun apa yang penting kita perlu terus beri semangat dan apa jua sokongan untuk kebebasan rakyat Palestin,” katanya dan mengakhirinya dengan laungan Hidup Palestin dan Palestin Merdeka. – Bernama