ekonomi

Subsidi bersasar strategi kerajaan tingkat kecekapan ekonomi

Belanjawan 2024 dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada 13 Oktober lalu disifatkan mengimbangi tanggungjawab fiskal dan kelestarian ekonomi.

Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Azeem Fazwan Ahmad Farouk, langkah kerajaan melaksana subsidi bersasar melalui belanjawan itu merupakan pengurusan fiskal yang lebih mampan untuk jangka masa panjang.

Langkah itu juga jelasnya merupakan strategi meningkatkan kecekapan dalam ekonomi dan membina semula ruang fiskal di samping meminimumkan risiko kejutan ekonomi antarabangsa.

“Pelaksanaan subsidi bersasar bukan saja dapat mengurangkan defisit fisikal kepada tahap yang baik malah mampu meningkatkan pendapatan kerajaan.

“Subsidi yang tidak mampan boleh memburukkan defisit bajet negara dan menjejaskan kestabilan ekonomi.

“Justeru, pemberian subsidi bersasar bertujuan melindungi golongan miskin berpendapatan rendah dan kumpulan terdedah sambil menyumbang kepada kestabilan serta pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya di Pusat Penyelidikan Dasar USM di Pulau Pinang semalam.

Dr Azeem turut menjelaskan, rejim subsidi menyeluruh atau pukal adalah tidak seimbang kerana setiap segmen masyarakat tanpa mengira latar belakang kewangan menikmati pemberian yang sama.

“Pada pandangan saya, strategi subsidi bersasar bersifat adil kerana ia dikenakan kepada golongan berpendapatan tinggi yang sememangnya berkemampuan.

“Malah, kerajaan dikatakan berada di landasan yang betul demi memastikan kelestarian pada masa hadapan yang mana semua sedia maklum kita berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama di peringkat global.

“Selain itu, peningkatan pendapatan negara sangat perlu bagi memastikan kerajaan dapat menampung dan menguruskan keperluan negara yang mengutamakan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini memaklumkan kerajaan akan melaksanakan sepenuhnya program subsidi bersasar mulai tahun depan.

Related Articles

Back to top button