Kerajaan jalankan projek impak tinggi bagi jamin sekuriti makanan – Mohamad Sabu
Lapan kertas kerja telah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) yang bersidang pada Rabu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kertas kerja itu adalah berkaitan usaha dalam memastikan keterjaminan dan kestabilan makanan negara berada dalam keadaan selamat serta mencukupi.
Pada mesyuarat dipengerusi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof itu juga, tumpuan turut diberikan dalam usaha memperkasa sekuriti makanan negara melalui pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi.
Iniasitif tersebut antaranya pelaksanaan Projek Industri Tenusu Negara melalui Projek Pembangunan Ladang Tenusu Integrasi di Chuping, Perlis serta Cadangan Pelaksanaan Pembajaan dan Pembekalan Baja Bio dan Organik bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi.
“Kerajaan melalui KPKM sedang berusaha melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan produktiviti sektor agromakanan khususnya dalam bidang teknologi, pemodenan dan rantaian nilai agromakanan.
“Antaranya, menerusi Strategi Pembangunan Industri Nanas dengan penyusunan semula sistem galakan pasaran eksport sedia ada untuk memupuk kecekapan dan daya saing yang lebih tinggi.
“Bagi meningkatkan produktiviti komoditi bernilai tinggi, pihak KPKM berhasrat memperluas skop Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dengan turut mengetengahkan komoditi bernilai tinggi seperti kelapa dan durian,” kata Mohammad Sabu dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif dilaksanakan akan membantu mengurangkan defisit perdagangan di samping memperkukuh aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi variasi benih penanaman dalam negara, meningkatkan prestasi eksport produk hiliran berasaskan pertanian dan merancakkan aktiviti pengeluaran makanan secara domestik.
“Selaras dengan hasrat membangun Malaysia MADANI, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan tahap keterjaminan makanan negara stabil dan lestari seiring dengan konsep ‘Food Security is a Shared Responsibility’.
“Justeru, jawatankuasa ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh sekuriti makanan negara ke arah peningkatan produktiviti, penjanaan pendapatan, potensi teknologi pertanian sekaligus meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,” tambahnya