Malaysia khuatir konflik di Palestin akan merebak jadi satu perang besar – PM Anwar
Malaysia lantang mempertahankan Palestin kerana khuatir konflik di Asia Barat itu akan merebak sehingga menjadi satu perang besar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keganasan dan peperangan boleh merebak sekiranya dunia terus membiarkan konflik Palestin dan Israel berterusan.
Beliau berkata, ini kerana semua pihak perlu sedar masalah itu berlarutan sehinggalah konflik itu dapat diselesaikan secara umum.
Menurut beliau, bantuan kemanusian juga adalah jangka pendek, tetapi penindasan rakyat Palestin harus ditamatkan supaya mereka dapat mengecapi keamanan.
“Jika masyarakat antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) mengabaikan kesengsaraan rakyat Palestin, mereka jemput elemen ekstrim dan ganas…ini harus dihentikan.
“Kita sebagai masyarakat antarabangsa harus mengambil semua langkah untuk menghentikan apa jua bentuk keganasan. Bagaimana? Melalui peraturan antarabangsa yang sah dan adil.
“Jika kita mengabaikan dua hal yang berpotensi bahaya …pertamanya, bahaya sikap ekstrim… mengikut naratif mereka. Kedua, provokasi konflik ini mungkin hingga menjadi perang besar dan ini sesuatu yang kita harus elak,” katanya.
Anwar berkata demikian menerusi rakaman video wawancara beliau bersama portal berita Al Arabiya yang dimuat naik di laman Facebook, hari ini. Wawancara tersebut berlangsung ketika lawatan Anwar ke Arab Saudi minggu lalu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia menyokong apa sahaja keputusan rantau Arab dalam menangani konflik di Palestin.
Katanya, walaupun Malaysia berkedudukan jauh dari rantau itu, namun percaya keadilan dan kemanusiaan harus ditegakkan.