Parlimen

Pembayaran terbuka bermula pertengahan November 2023 untuk KTM Komuter Lembah Klang – Anthony Loke

KTM Komuter lembah Klang mula pembayaran terbuka pertengahan November 2023 – Menteri

Pengguna komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Lembah Klang dijangka akan dapat menggunakan kaedah pembayaran terbuka mulai pertengahan November ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata ketika ini penaiktarafan sistem tiket atau Automatic Fare Collection (AFC) untuk seluruh rangkaian KTM Komuter di Lembah Klang sudah hampir selesai.

“Pengguna dapat menikmati kemudahan baharu apabila kesemua 57 stesen KTM Komuter di Lembah Klang dilengkapi dengan alat pengimbas di gantri yang menyokong kaedah pembayaran terbuka.

“Ia termasuk kad kredit, kad debit, Touch ‘n Go dan Kod QR melalui aplikasi mobile KTMB (KITS). Jumlah kos projek adalah sebanyak RM29 juta,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang bertanyakan peratusan pelaksanaan sistem pembayaran terbuka dalam rangkaian pengangkutan awam Lembah Klang, terutamanya dalam rangkaian Prasarana seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Bas Rapid KL.

Loke berkata, sistem pembayaran terbuka melibatkan rangkaian perkhidmatan rel di Lembah Klang pula dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos 2025.

Beliau berkata, ketika ini Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) sedang memuktamadkan pelan pelaksanaan tersebut yang merangkumi Laluan LRT Kelana Jaya, Laluan LRT Ampang, Laluan MRT Kajang, Laluan MRT Putrajaya dan Monorel.

Menurutnya, kerja reka bentuk dan pembangunan dijangka bermula pada Mac 2024 dan Prasarana akan mengambil tempoh 11 bulan iaitu hingga Februari 2025 untuk menyiapkan 50 peratus daripada gantri di setiap stesen untuk menerima kaedah pembayaran terbuka.

“Sistem baharu ini akan memperkenalkan penggunaan MyDebit dan kad kredit sebagai mod pembayaran tambahan di gantri selain kaedah pembayaran sedia ada yang menggunakan kad Touch ‘n Go ataupun token.

“Sekiranya perlu, sistem ini akan terus diperkembangkan dengan membolehkan penggunaan mod pembayaran yang lain seperti Kod QR dalam fasa pelaksanaan yang seterusnya,” katanya.

Related Articles

Back to top button