AnwarSemasa

Perjuangan bahasa Melayu oleh PM Anwar tak pernah luntur

Peringatan diberikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu supaya urusan surat-menyurat di jabatan kerajaan perlu menggunakan bahasa Melayu telah mencerminkan perjuangannya dalam memartabat bahasa kebangsaan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub dipetik satu laporan media berkata, perjuangan itu dapat dilihat sendiri rakyat apabila Anwar sering menggunakan perkataan bahasa Melayu tinggi, dalam setiap ucapannya.

“Perjuangan bahasa Melayu dalam diri Perdana Menteri tidak pernah luntur, kerana daripada dulu lagi beliau merupakan mahasiswa sastera Melayu, jadi bagi saya itu merupakan kesinambungan yang diterjemahkan dalam pentadbiran beliau pada hari ini,” kata.

Anwar pada Karnival Dekad Bahasa dan Dekad Membaca Kebangsaan di Cyberjaya mengingatkan jabatan kerajaan untuk tidak melayan atau memulangkan sahaja mana-mana surat yang menggunakan selain bahasa Melayu.

Beliau berkata, pada masa ini banyak pihak dilihat terpesong daripada asas Perlembangaan apabila tidak menggunakan bahasa Kebangsaan.

Sementara itu, tokoh bahasa, Prof Datuk Seri Awang Sariyan menyifatkan arahan terbaharu oleh perdana menteri itu sebagai langkah yang selari dengan peruntukan yang termaktub dalam Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan, yang menekankan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi di tiga lapis pentadbiran negara.

Menurutnya, selepas 66 tahun merdeka, masih ada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang tidak mengutamakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi termasuk mesyuarat, penjenamaan program dan institusi, serta penggunaan bahasa di tempat awam.

“Program Audit Bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 2013 mendapati, masih berlakunya isu itu,” katanya.

Related Articles

Back to top button