Nasional

KPN ingatkan untuk ambil tindakan terhadap anggota yang jejas imej PDRM

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sekali lagi mengingatkan semua ketua jabatan, pegawai pemerintah dan penyelia hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas penyampaian penyeliaan dan pemantauan terhadap anggota di bawah seliaan masing-masing.

Beliau menegaskan, tindakan itu perlu diambil tanpa pilih kasih atau berat sebelah.

Jelas beliau, pegawai pemerintah hendaklah bertanggungjawab dan mengambil cakna tentang tingkah laku pegawai bawahan dengan memberi teguran dan membetulkan selain mengambil tindakan terhadap mana-mana anggota yang mempamerkan apa jua bentuk perlakuan menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ini jelas di bawah peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Justeru, saya mahu semua pegawai pemerintah memulakan pendekatan yang lebih agresif dalam memperkasakan peraturan ini secara menyeluruh ke arah meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perhimpunan bulanan anjuran Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam di Dataran Kompleks 3, Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, kata beliau, bagi memastikan keberkesanannya secara berterusan, arahan ini perlulah disampaikan dalam setiap roll call, perjumpaan serta mesyuarat di semua peringkat.

“Sehingga ia dapat diadaptasi serta dihayati seterusnya dibudayakan oleh semua lapisan warga PDRM.

“Ini kerana, masyarakat pada masa kini meletakkan satu standard yang tinggi dengan menuntut perkhidmatan kepolisan yang berkualiti,” tegasnya.

Dalam perkembangan berasingan, PDRM juga akan melancarkan tabung Kecemasan Solidariti Palestin di Masjid Bukit Aman bersama MyFundAction dalam Majlis Perasmian Penutup Karnival Jubli Perak 25 Tahun pada malam ini.

Jelasnya, tabung ini dilancarkan bagi menyatakan sokongan PDRM bersama dengan kerajaan bagi menghentikan serangan rejim Zionis terhadap Palestin.

“Simpati dengan nasib yang menimpa saudara-saudara kita di sana, saya akan lancarkan tabung kecemasan ini.

“Adalah diharapkan agar usaha murni ini akan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban saudara kita di sana,” katanya.

Related Articles

Back to top button