Anwar

Malaysia kekal pendirian terus hubungan bersama Liga Arab, negara anggota OIC – PM Anwar

Malaysia kekal dengan pendirian untuk meneruskan hubungan bersama Liga Arab dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meskipun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) gagal mencapai kata sepakat mengenai resolusi gencatan senjata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, hak rakyat Palestin harus diberi keutamaan dan bantuan kemanusiaan perlu disegerakan.

“Kita terus adakan hubungan dan ambil tindakan bersama tapi soal bantuan kemanusian, makanan, perubatan itu perlu kita segerakan.

“Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi sudah memberi jaminan bantuan makanan akan segera disalurkan ke Rafah sebaik sahaja diterima dari negara-negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas makan tengahari di Kedai Makan Ramli Corner Selera Kampong, di Dengkil Selangor.

Dalam pada itu, mengenai gesaan pembangkang agar memboikot Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, Anwar berkata perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan.

Terdahulu, Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan kegagalan resolusi gencatan senjata diputuskan berikutan usul berkenaan tidak mendapat sokongan sekurang-kurangnya sembilan negara anggota UNSC.

Dalam undian yang dibuat, usul itu hanya diterima oleh empat negara anggota iaitu Russia (pembawa usul), China, Gabon, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Usul itu ditolak oleh Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) manakala sembilan negara anggota memutuskan untuk berkecuali iaitu Albania, Brazil, Ecuador, France, Ghana, Japan, Malta, Mozambique dan Switzerland.

Related Articles

Back to top button