Global

Malaysia tak tergesa-gesa hantar tentera ke Palestin, kata Menteri Pertahanan

Malaysia tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa dalam memutuskan penghantaran tentera pengaman ke Palestin.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya mengambil sikap dan pendirian tunggu dan lihat dengan keputusan pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung perkara tersebut.

Malah pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan mempertimbang terlebih dahulu tindakan seterusnya berdasarkan keputusan PBB.

“Kita sudah ada lebih 800 orang anggota tentera di Lubnan, kita ada juga beberapa pegawai yang masih lagi bertugas di Somalia ataupun di negara-negara Afrika tapi tidak seramai apa yang ada di Lubnan.

“Jadi sebagai negara yang menyertai PBB, kita akan tunggu dan lihat apa keputusan PBB dan di situ nanti kita akan menilai sama ada perlu ke Malaysia menyertai tentera pengaman ini ataupun tidak, kita tidak akan secara tergesa-gesa menghantar pasukan tentera kita di sana,” katanya .

Mohamad Hasan ditemui pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Port Dickson pada Khamis.

Beliau sebelumnya ditanyakan persoalan masyarakat berkenaan mengapakah Malaysia tidak menghantar bantuan ketenteraan ke Gaza, Palestin yang berdepan serangan bom Israel.

Related Articles

Back to top button