Anwar

PM Anwar santuni rakyat, solat Jumaat di Dengkil

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Al-Ilmi, Kampung Datuk Ahmad Razali.

Beliau yang tiba kira-kira 1.07 petang disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta jemaah yang lain.

Solat Jumaat yang turut dihadiri kira-kira 1,000 jemaah itu dipimpin oleh imam jemputan dari Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya, Mohammad Khidir Ngah, manakala khutbah bertajuk, ‘Dunia Sementara, Akhirat Selamanya’ pula disampaikan imam Masjid Al-Ilmi Muaz Ishak.

Isi khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor antara lain mengajak umat Islam untuk memanfaatkan peluang semasa hidup dengan memperbanyakkan amalan kebaikan untuk dibawa sebagai bekalan ke akhirat dan berdoa dalam setiap waktu solat agar Allah SWT mengurniakan keamanan serta kesejahteraan kepada rakyat Palestin.

Selesai solat, Anwar turut meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama jemaah yang hadir.

Beliau yang juga Menteri Kewangan turut berkesempatan menjamu selera dan menyantuni rakyat di Kedai Makan Ramli Corner Selera Kampong.

Anwar tiba di kedai makan itu kira-kira pukul 1.50 tengah hari diiringi Dr. Mohd. Na’im dan beberapa kenamaan lain.

Ketibaan beliau disambut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Aiman Athirah Sabu dan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Sepang, Datuk Abd. Hamid Hussain.

Beliau kemudian dijamu dengan pelbagai hidangan termasuk asam pedas ikan tenggiri, ayam berempah, kari daging, kerabu tauge dan ulam-ulaman.

Related Articles

Back to top button