Nasional

Raja-Raja Melayu payung pelindung rakyat, sebagai benteng kemakmuran negara – Agong

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Khamis menzahirkan penghargaan atas sokongan Raja-Raja Melayu sepanjang lima tahun beliau memerintah.

Baginda yang bakal menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan tahun depan – bertitah walaupun menempuh pelbagai peristiwa dan badai gelora, Raja-Raja Melayu sentiasa membantu mencari jalan penyelesaian terbaik demi kesejahteraan rakyat jelata.

“Sama ada ketika berhadapan kemelut politik dan pandemik Covid-19, sepanjang Paduka Adinda memerintah negara; Paduka Adinda sentiasa menjunjung sumpah yang telah dilafazkan iaitu untuk memerintah Malaysia yang kita cintai ini dengan secara adil menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dengan sepenuh ketelusan hati.

“Paduka Adinda juga amat bersyukur dan berterima kasih atas kesudian Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berangkat ke Istana Negara untuk berbincang dan bersama berganding bahu dalam melontar buah pandangan yang bernas demi untuk membantu dalam mencapai jalan penyelesaian buat negara dan kesejahteraan rakyat jelata,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 di Istana Negara, Kuala Lumpur yang dipengerusikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Melalui titahnya juga, Al-Sultan Abdullah menjelaskan, sepanjang pemerintahan baginda yang menerima sokongan padu Raja-Raja Melayu, ia akhirnya membawa negara dan rakyat jelata dilindungi daripada terus terjerumus ke kancah yang tidak menentu.

Al-Sultan Abdullah turut menyorot beberapa peristiwa sepanjang tempoh Seri Paduka memerintah.

Antaranya apabila negara berdepan penularan pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat jelata selain negara buat pertamanya berhadapan situasi parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.

Terpahat dalam lipatan sejarah negara juga bahawa Seri Paduka merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang perdana menteri, bersama empat jemaah menteri yang berlainan.

“Hakikatnya, institusi Yang di-Pertuan Agong bukanlah sekadar simbolik semata-mata. Ia adalah pelindung kepada amalan demokrasi, tiang seri kepada keamanan negara dan nadi kepada perpaduan negara.

“Ia mempunyai roh dan semangat sebagai instrumen semak dan imbang terakhir negara yang berupaya menggunakan budi bicara untuk menzahirkan kata putus tatkala negara menemui jalan buntu,” titah Seri Paduka dengan bertitah bahawa pada hemat baginda, Raja-Raja Melayu secara kolektif merupakan payung yang melindungi rakyat jelata serta benteng kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Related Articles

Back to top button