Semasa

Ugutan diterima PM buktikan bantahan Malaysia terhadap konflik Palestin-Israel efektif

Seorang pakar Geostrategi menyifatkan “ugutan” diterima Perdana Menteri Anwar Ibrahim susulan kelantangan memperjuangkan isu Palestin membuktikan ‘suara’ Malaysia didengari negara luar.

Dr Azmi Hassan yang juga Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berkata, ancaman itu menunjukkan bantahan Malaysia terhadap konflik Palestin-Israel adalah efektif.

“Saya melihat isu ini dari sudut positif, kalau negara kecil seperti Malaysia mendapat perhatian hingga pemimpinnya “diugut” supaya mengendurkan bantahan berbentuk pro Palestin, maknanya apa kita buat itu efektif.

“Kalau banyak negara kecil seperti Malaysia suarakan bantahan itu, ia akan menjadi lebih efektif,” katanya dipetik FMT.

Beliau berkata begitu sebagai mengulas pendedahan Anwar bahawa beliau menerima “ugutan” daripada ahli Parlimen Eropah, berhubung kelantangan Malaysia mengkritik kekejaman Israel di Palestin.

Bagaimana Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu katanya, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, beliau selaku ketua kerajaan tidak akan tunduk dan gentar sebarang ugutan.

Sementara itu, penganalisis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin mengakui isu itu akan mengundang tekanan diplomasi terhadap Anwar yang berbeza pendirian dengan pemimpin kuasa besar dunia pro Israel.

“Bagaimanapun isu ini tak harus dipolitikkan, Malaysia memang terkenal dengan diplomasi berbentuk awam berkepentingan, negara Islam dan konsisten mengecam elemen penindasan hak kemanusian khususnya rakyat Palestin yang ditindas di Gaza,” jelasnya.

Noor Nirwandy sementara itu berkata, Malaysia adalah negara yang mempunyai sistem diplomasi awam terbaik khususnya dalam memperjuangkan Islam dan hak kemanusiaan.

“Malaysia dihormati dan sering jadi rujukan melibatkan isu umat Islam di seluruh dunia,” katanya sambil menjelaskan, solidariti terhadap penindasan kemanusiaan memerlukan kerjasama semua pihak.

Related Articles

Back to top button