Semasa

Ulama, pendakwah antarabangsa puji kelantangan Malaysia bela Palestin

Kelantangan Malaysia menyuarakan nasib rakyat Palestin yang menjadi mangsa penindasan rejim zionis terus mendapat pujian termasuk dari ulama dan pendakwah antarabangsa.

Pemimpin Majelis Nurul Musthofa, AlHabib Hasan Ja’afar As-Segaf dari Indonesia kagum melihat semangat luar biasa ditunjukkan rakyat Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu itu.

Ia jelasnya perlu menjadi contoh kepada negara Islam di seluruh dunia.

“Kelantangan rakyat Malaysia (dan Perdana Menteri) terhadap isu Palestin ini sangat luar biasa dan harus jadi contoh kepada semua negara Islam di dunia supaya membantu saudara kita di Palestin.

“Ini adalah satu kekuatan Malaysia yang tidak perlu takut kerana doa yang dipanjatkan kepada Ilahi ini amat diperlukan rakyat Palestin,” katanya.

AlHabib Hasan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Tangga Batu Berselawat dan Doa Munajat Palestin Maulid Arbain Malam Ke-40 di Masjid Cina, Krubong di Melaka.

Sementara itu, pendakwah Indonesia, AlHabib Ali Zaenal Abidin Faisal AlMadihij turut berkongsi pandangan sama dan berharap Anwar tidak berganjak dari pendirian itu sekali pun ditentang negara Barat.

“Malaysia tidak perlu takut dengan tekanan Barat bahkan harus lebih takut jika berundur, Malaysia akan berdepan musibah kerana tidak berjuang mempertahankan Islam.

“Mungkin juga kerana perjuangan ini, Allah memberikan keamanan di negara ini melalui ujian yang diturunkan terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Perdana Menteri baru-baru ini mendedahkan ancaman diterimanya susulan pendirian tegasnya membela nasib rakyat Palestin selain keras mengecam sikap hipokrit dunia barat dalam isu tersebut.

Bagaimanapun tegas Anwar, beliau sama sekali tidak akan gentar terhadap sebarang ancaman dilempar terhadapnya.

Related Articles

Back to top button