KPKM yakin harga ayam tak naik mendadak selepas pengapungan harga
Kerajaan yakin pelaksanaan pengapungan harga ayam tidak akan menyebabkan kenaikan secara mendadak harga makanan keperluan rakyat itu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yakin pelaksanaan pengapungan harga ayam tidak akan menyebabkan kenaikan mendadak harga bahan mentah basah itu.
Bercakap sebagai tetamu program Naratif Khas terbitan RTM dengan topik “Pasca Belanjawan 2024: Tamat Subsidi Ayam, Apa Jaminan Buat Rakyat?” malam tadi, beliau menjelaskan keyakinan itu berdasarkan kedudukan dan pengeluaran ayam di negara ini masih mencukupi ketika ini.
“Harga siling ayam adalah RM9.40, harga ayam yang ada di pasaran sekarang ini berada di bawah harga siling. Jadi kita harap dengan pengapungan ini harga ayam tidak melepasi harga siling.
Ini juga (berdasarkan) tinjauan kita di pasaran dan pengeluar juga memberi jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya supaya bekalan ayam mencukupi bila berlaku pengapungan harga nanti,” katanya.
Pada masa sama, Mohamad turut memberi amaran tindakan akan diambil pada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga ayam selepas pelaksanaan pengapungan harga tersebut.
“Kalau berlaku kenaikan harga yang disengajakan kerajaan boleh bertindak, melainkan kalau ia betul-betul tidak cukup dalam pasaran.
“Saya yakin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memantau dengan baik supaya tidak berlaku manipulasi harga,” jelasnya.
Semasa pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu,
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2024 Okt lalu berkata kerajaan akan mempertimbang harga ayam dan telur di pasaran diapungkan.
Langkah itu selepas selepas kerajaan mendapati bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Badrul Hisham Mohd yang turut menjadi tetamu program itu menjelaskan, pihaknya amat berhati-hati apabila membuat sebarang keputusan memandangkan ia akan memberi kesan secara langsung kepada rakyat dan industri.
“Kemungkinan dalam jangka pendek akan berlaku kegusaran rakyat, itu kita telah jangkakan. Kita telah menyediakan pelbagai strategi dan pendekatan yang akan kita laksanakan sekiranya kesan dan keresahan itu berlangsung dalam tempoh di luar jangkaan.
“Dari segi jangka panjang, kita yakin keputusan ini akan memberikan satu keseimbangan ekonomi kepada semua pihak,” jelasnya.
Untuk rekod, pelaksanaan pengapungan harga ayam dan telur akan diumumkan pada 30 Oktober ini.