Semasa

KPM jalankan saringan kompetensi digital guru, dijangka selesai akhir Disember – Fadhlina

Kementerian Pendidikan (KPM) telah menjalankan proses saringan terhadap warga pendidik bagi menilai tahap kompetensi digital dimiliki mereka, kata menterinya.

Menurut Fadhlina Sidek, langkah itu bagi memastikan Dasar Pendidikan Digital yang diusahakan kerajaan akan dapat dijayakan.

Setakat ini jelasnya, 301,844 orang pendidik sudah disaring oleh kementeriannya dan kesemua mereka dikategorikan mengikut tahap kompetensi digital mereka.

“Seramai 65,092 atau 22 peratus pendidik berada pada tahap asas, 230,785 pendidik (76 peratus) pada tahap pertengahan manakala 5,967 (dua peratus) pendidik pada tahap lanjutan.

“Pengesanan saringan tahap kompetensi digital pendidik masih berjalan dan dijangka selesai pada akhir bulan Disember 2023,” katanya menerusi jawapan bertulis dalam mesyuarat ketiga, penggal kedua parlimen ke-15.

Dasar Pendidikan Digital bertujuan untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing iaitu murid berupaya menggunakan teknologi digital secara bersepadu, kreatif, inovatif, bertanggungjawab dan beretika.

Ia diluluskan dalam mesyuarat jemaah menteri pada 26 Mei lalu.

Sementara itu jelas Fadhlina, KPM bekerjasama dengan syarikat teknologi utama dunia bagi memastikan guru-guru mahir mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Seramai 40,478 guru telah berjaya menerima pensijilan peringkat antarabangsa melalui kerjasama tersebut sehingga tahun 2022.

“Selain itu, KPM mewujudkan pasukan guru Jauhari Digital yang mahir dan berkepakaran dalam pengintegrasian teknologi pendidikan digital untuk memberi khidmat bantu dan bimbingan kepada guru-guru setempat.

“Pada tahun 2022, seramai 230 guru diiktiraf sebagai guru Jauhari Digital manakala bagi tahun 2023, KPM telah mensasarkan peningkatan sehingga 870 guru Jauhari Digital,” katanya.

Related Articles

Back to top button