Negeri

NRECC tolak cadangan pengubahsuaian KSAS oleh Kerajaan Kelantan

Kementerian Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menolak cadangan Kelantan berkaitan pengubahsuaian Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) di negeri tersebut.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata semua rancangan struktur Pihak Berkuasa Negeri hendaklah selaras dengan polisi Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 yang telah diwartakan pada 31 Disember 2020.

Tegasnya, proses Pengubahan Rancangan Struktur Negeri Kelantan melibatkan KSAS yang tidak menepati RFN bercanggah dengan penetapan dasar Kerajaan Persekutuan.

Ia akan menjejaskan dasar kerajaan dalam mencapai 50 peratus keluasan tanah berhutan di Semenanjung Malaysia selaras dengan polisi RFN dan turut dibimbangi akan menjejaskan status Taman Negara Kelantan selain menjejaskan rangkaian ekologi Central Forest Spine dan keseimbangan ekosistem di negeri itu.

“NRECC sentiasa komited dalam memastikan sumber hutan dan kepelbagaian biologi kita terus dijaga, diuruskan secara mampan dan digunakan secara bertanggungjawab.

“Kementerian berpandangan bahawa kawasan sensitif alam sekitar ini sedia ada di Negeri Kelantan hendaklah terus dikekalkan dalam Rancangan Pemajuan (Rancangan Struktur Negeri, Rancangan Tempatan dan Rancangan Kawasan Khas) bagi memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi serta kemampanan alam sekitar HSK di Negeri Kelantan dapat dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru Nik Nazmi menegaskan kementerian dan jabatan serta agensi berkaitan akan mengemukakan bantahan rasmi kepada Kerajaan Kelantan.

Kerajaan Negeri Kelantan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kelantan pada 21 Oktober lalu telah memutuskan supaya HSK kecuali kawasan punca air atau tadahan air tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS.

Pelaksanaan keputusan ini masih di peringkat draf Pengubahan Rancangan Pemajuan di Negeri Kelantan.

Sementara itu jelas Nik Nazmi, kawasan KSAS terutama di Gua Musang merupakan habitat Harimau Malaya, gajah, seladang dan tapir yang akan terjejas selain mengganggu pergerakan hawain terbabit ke Perak, Pahang dan Terengganu.

Kehilangan habitat akan meningkatkan konflik manusia dan hidupan liar yang menyebabkan kerugian akibat kemusnahan hasil tanaman dan kerosakan harta benda selain kehilangan nyawa.

Aktiviti guna tanah pula jelasnya akan memberi kesan kepada pergerakan sedimen ke dalam sistem sungai yang menyumbang kepada kekeruhan air dan turut menyebabkan kejadian banjir.

Penebangan hutan yang tidak terkawal hasil daripada pengubahsuaian KSAS juga akan menyumbang kepada bencana alam.

“Selama lebih dari satu dekad, Kelantan masih menghadapi isu banjir kilat dan fenomena itu dilihat semakin serius disebabkan oleh kemusnahan hutan akibat aktiviti manusia yang tidak terkawal. Hutan berperanan sebagai “span semulajadi” dalam menyerap air hujan.

“Oleh itu, pokok memainkan peranan penting dalam menghalang aliran sedimen dan mengekalkan air, menjadikannya komponen penting dalam memelihara persekitaran yang stabil,” katanya.

Related Articles

Back to top button