Politik

Syahredzan tempelak PAS kerana lebih minat cari modal politik berbanding bela Palestin

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan membidas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan yang memperlekeh kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim diancam negara barat kerana memperjuangkan isu Palestin sebagai ‘pelik dan lucu’.

Dipetik Malaysiakini, Syhredzan menyifatkan PAS lebih berminat menjadikan isu ancaman diterima perdana menteri sebagai modal politik berbanding isu sebenar berkaitan Palestin.

Tambahnya, beliau percaya ada sebab tertentu mengapa Menteri Luar, Zambry Abdul Kadir enggan mendedahkan negara yang memberi tekanan itu meskipun didesak pemimpin pembangkang.

“Saya percaya ada sebab mengapa ia tidak didedahkan. Yang penting isu pokok- bahawa kita berdiri di belakang PM sebagai pemimpin untuk nyatakan pendirian dalam konflik ini.

“Malangnya, PAS lebih berminat untuk ‘score political points’ daripada mencari penyelesaian,” kata Syahredzan.

Anwar pada himpunan Malaysia Bersama Palestin baru-baru ini mendakwa menerima tekanan dari negara barat khususnya Amerika Syarikat dan Eropah kerana lantang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.

Walau bagaimanapun jelas Anwar, beliau tidak gentar dengan ugutan tersebut.

“Saya tegaskan Malaysia negara bebas dan merdeka. Malaysia akan kekal negara berdaulat yang kekalkan kebebasan dan kebebasan rakyat Palestin,” katanya ketika berucap di Stadium Axiata Bukit Jalil, pada 24 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Syahredzan menegaskan PAS sepatutnya tidak menjadikan kenyataan Anwar sebagai isu politik, sebaliknya menyokong usaha kerajaan dalam membela rakyat Palestin.

“Isu ini sebenarnya patut menyatukan kita, bukan menjadi modal politik.

“Pembangkang sepatutnya menyokong usaha perdana menteri yang berada di barisan hadapan untuk memastikan rakyat Palestin terbela. Ini melangkaui politik kepartian,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button