Nasional

Zahid janji bawa isu elaun sara hidup pelajar luar negara ke pengetahuan PM Anwar

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakhiri lawatan kerja selama tiga hari di London, hari ini, dengan bertemu hampir 200 pelajar Malaysia di United Kingdom (UK).

Pada majlis ramah mesra itu, Zahid menerangkan mengenai dasar Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terutama dalam membawa perubahan untuk memartabatkan lagi negara menerusi konsep MADANI.

Dalam pertemuan yang dihadiri Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek itu juga, kumpulan mahasiswa terbabit turut menyampaikan beberapa hasrat mereka terutama berkaitan kadar elaun sara hidup.

Zahid dalam ucapannya bagaimanapun memaklumkan beliau secara peribadi akan membawa perkara itu kepada Perdana Menteri untuk dipertimbangkan.

“Seperti semua sedia maklum, MARA sudah menaikkan elaun ini kira-kira 15 peratus pada tahun lalu tetapi saya faham ia tidak cukup dengan kos sara hidup terutama di London yang semakin meningkat.

“Oleh yang demikian saya secara peribadi akan bercakap kepada Perdana Menteri, supaya mengasihani pelajar kita di luar negara dan (kadar elaun) harus diberi pertimbangan semula, bukan sahaja MARA malah (untuk pelajar tajaan) JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dan Petronas,” katanya.

Terdahulu, sepanjang lawatan kerjanya, Zahid turut menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) 2030 selain mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia.

Malah, beliau berpeluang mengadakan pertemuan dengan anggota House of Lords UK, Lord Alexander Trees dan membincangkan mengenai kaedah pemengsanan haiwan (animal stunning methods) dengan membuat perbandingan antara teknik konvensional dan prinsip amalan halal.

Selain itu, Ahmad Zahid juga dijemput menyertai bual bicara kelolaan Overseas Development Institute (ODI) yang mana beliau menyentuh hala tuju strategik Malaysia terhadap pembangunan modal insan melalui bidang Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), meneroka peluang ekonomi luar bandar dan peranan modal insan dalam industi halal.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen UK bagi menyuarakan dan membincangkan isu berkepentingan bersama, khususnya berkaitan rakyat Palestin dan pendirian Malaysia berhubung isu berkenaan.

Related Articles

Back to top button