Sukan

KBS komited lahirkan bakat muda sukan golf

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mempertimbangkan untuk menstruktur semula pelan pembangunan bakat muda dalam sukan golf.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, beliau melihat melalui langkah tersebut ia dapat memastikan kesinambungan sukan itu sekaligus melahirkan pemain yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Ditemui pemberita di Kuala Lumpur Golf and Country Club pada Sabtu beliau berkata, idea itu tercetus susulan pertemuan tertutup bersama enam pemain golf negara yang sedang beraksi dalam Kejohanan Golf Maybank 2023.

“Semasa perbualan dengan pemain-pemain kita, mereka tidak meminta untuk diri mereka tetapi mereka mohon supaya kem pembangunan sukan kebangsaan digerakkan semula bagi membantu ahli sukan perempuan berlatih bersama-sama supaya mereka mempunyai masa untuk bergaul dan belajar.

“Kami juga mahu melihat cara untuk mendekatkan lagi hubungan kerana kebanyakan pemain golf negara berpangkalan di seberang laut. Kita menang pingat emas di Sukan SEA tahun ini di Kemboja, jadi kita harus meneruskan pembangunan sukan ini,” katanya.

Hannah turut memberitahu, kementerian turut akan melihat kewajaran untuk menyediakan pusat latihan berpusat yang boleh digunakan pemain muda serta senior untuk berkongsi kepakaran masing-masing.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan Geran Padanan Sukan (GPS) sebanyak RM1 juta untuk edisi sulung Kejohanan Golf Maybank 2023 yang bakal menampilkan 78 pemain termasuk 10 dari Malaysia dan negara ASEAN.

Beliau turut berharap lebih banyak persatuan sukan akan mendapat manfaat pada tahun depan, apabila Belanjawan 2024 yang memperuntukkan tambahan RM50 juta GPS terus menggalakkan penganjuran acara sukan berprestasi tinggi di negara ini.

“Apa yang kami harap untuk lakukan tahun depan ialah untuk mengkaji bagaimana kami boleh meneruskan penggunaan geran sepadan itu. Tahun ini kami diberikan RM40 juta untuk menyokong acara-acara seperti ini dan kami menerima 924 permohonan.

Tetapi tahun hadapan, sebaik sahaja belanjawan diluluskan, kami akan ada RM50 juta. Diharap sekarang kesemua persatuan sukan memahami bagaimana geran ini diagihkan dan akan menghantar permohonan mereka awal dan mendapatkan kelulusan awal daripada badan antarabangsa untuk menganjurkan acara di sini, jelasnya.

Related Articles

Back to top button