Semasa

Kerajaan bakal bina 9 Pusat Pemindahan Kekal Bencana di negeri sering dilanda banjir

Sebanyak sembilan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) akan dibina di negeri-negeri yang sering dilanda banjir yang teruk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, PPKB yang bakal dibina itu akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dijangka dapat beroperasi buat kali pertama pada tahun 2026.

“PPKB yang dibina itu akan mempunyai persekitaran dan kemudahan yang lebih baik berbanding Pusat Penempatan Sementara (PPS) sedia ada dengan had siling kos pembinaan RM5 juta untuk setiap PPKB.

“Ia akan dilengkapi kemudahan yang bersesuaian seperti dewan penginapan, tandas, bilik mandi, ruang membasuh pakaian, dapur dan sudut makan, ruang khas wanita, bilik pentadbiran, bilik petugas, stor makanan serta keperluan asas, bilik rawatan dan surau,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat tapak cadangan pembinaan PPKB di Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong dekat Manir, Kuala Terengganu pada Sabtu.

Lapan lokasi lain PPKB yang dicadangkan pembinaannya ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Pasir Mas, Kelantan; SK Seri Medan, Batu Pahat, Johor; SK Benta, Kuala Lipis, Pahang dan SK Perwira, Teluk Intan di Perak.

Lokasi lain ialah SK Machang Bubok, Pulau Pinang; SK Beradek, Kuching, Sarawak sementara di Kedah dan Sabah masih di peringkat penilaian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) di negeri berkenaan.

Armizan sementara itu turut memaklumkan, ketika ini proses pembinaan PPKB tersebut sedang berada di peringkat reka bentuk dan proses tender akan dimulakan pada awal tahun depan.

Inisiatif PPKB itu jelasnya telah diumumkan secara rasmi pelaksanaannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu.

Tambahnya, bagi fasa awal ini, keutamaan akan diberikan untuk membina PPKB di kawasan sekolah atas beberapa faktor untuk menjadikan fasiliti yang dibina beroperasi secara dwi-fungsi iaitu sebagai pusat pemindahan semasa bencana dan boleh dimanfaatkan oleh komuniti sekolah di luar tempoh bencana.

“Pada masa yang sama, pemilihan sekolah sebagai lokasi PPKB juga membolehkan isu pemilikan tanah dapat ditangani melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia sekali gus membolehkan proses pembinaan dapat dilaksanakan dengan segera,” menurutnya.

Related Articles

Back to top button