Malaysia sambut baik keputusan resolusi, sifatkan langkah amat penting
Malaysia menyambut baik keputusan resolusi gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang dicapai Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebagai mengulas perkara itu berkata, resolusi itu amat penting kerana tindakan segera perlu diambil bagi membantu penduduk Palestin.
“Kita berada disaat yang kritikal kerana setiap minit dan saat begitu penting kepada rakyat Palestin dan macam-macam boleh berlaku dan terbaru saya dengar talian internet sudah mula putus,” katanya.
Mohd Naim ditemui di Pusat Agihan Zakat (PAZA) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan cawangan Titiwangsa, di sini, hari ini.
Pengundian semasa Sidang Khas Tergempar ke-10 itu menyaksikan resolusi menggesa gencatan senjata segera selain bantuan kemanusian serta perkhidmatan penting sampai ke Semenanjung Gaza tanpa sebarang halangan dibawakan Jordan itu diluluskan dengan 120 undi menyokong, 14 menentang dan 45 tidak mengundi.
Resolusi draf itu mendapat sokongan awal daripada lebih 40 negara ahli, termasuk Mesir, Oman, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Antara negara yang menyokong termasuk Perancis, Iran, Ireland, Jordan, Singapura, Namibia, Nepal, New Zealand, Nicaragua, Niger, Nigeria, Norway, Portugal, Rusia.
Sementara itu Mohd Na’im mengharapkan semangat cakna dan membantu rakyat Malaysia mengenai isu Palestin ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi.