Semasa

Minggu Solidariti Palestin: beri peluang pelajar fahami maksud solidariti dan setiakawan

Inisiatif kerajaan menganjurkan Minggu Solidariti Palestin merupakan satu usaha yang baik, tegas Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS) Adam Adli Abdul Halim.

Walau bagaimanapun menurut beliau, program itu perlu diterjemahkan dengan diteliti khususnya di peringkat pelajar yang masih kabur mengenai isu terbabit.

“Anak-anak di sekolah hari ini berhadapan dengan waktu yang mana orang sekeliling mereka bercakap soal Palestin tapi apa pendidikan yang kita bagi kepada anak-anak?

“Kita bimbang jika mereka ini tidak diberi bimbingan yang betul akan ada pihak yang akan ambil kesempatan untuk memesongkan minda mereka,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Angkatan Muda Keadilan (AMK) Zon Utara di Batu Maung , Pulau Pinang pada Sabtu.

Mengulas lanjut Ketua AMK itu mencadangkan agar pihak sekolah menerapkan elemen ilmiah dan intelektual agar pelajar dapat memahami isu sebenar yang berlaku di Palestin dengan tepat dan tidak disalah taafsir.

Langkah itu juga jelasnya dapat meredakan kebimbangan sesetengah pihak terhadap penganjuran program solidariti tersebut.

“Pelajar perlu faham isu (Palestin) ini adalah isu global. Maka, mereka perlu diberi peluang untuk menelaah, meneliti menulis dan mendedahkan diri dengan bahan media yang menggambarkan situasi sebenar supaya lebih menghayati maksud solidariti dan setiakawan.

“Gambaran tepat juga perlu diberikan betapa dunia perlukan keamanan…Ini menjadi tanggungjawab para pendidik untuk mendidik anak-anak mengenai keamanan sejagat selain aktiviti yang mampu memupuk semangat dan nilai yang baik,” katanya.

Related Articles

Back to top button