Negeri

Selangor lancar projek rintis kumpul sisa buangan elektronik secara terurus

Kerajaan Negeri Selangor akan menjadikan tiga lokasi stesen minyak sebagai tempat pengumpulan barangan elektronik (e-waste) yang tidak lagi digunakan.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, ketiga-tiga stesen di Bandar Utama itu merupakan projek perintis kerajaan negeri untuk mengurangkan pembuangan sisa elektronik secara tidak terurus.

“Selepas ini apabila sesiapa ingin melupuskan gajet seperti telefon pintar, bateri ‘powerbank’ boleh melakukannya di stesen minyak. Ia lebih mudah kerana menjadi lokasi tumpuan awam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Alam Sekitar 2023 peringkat negeri Selangor di Shah Alam pada Sabtu.

Jamaliah sementara itu menambah, ketiga-tiga pusat tersebut akan mula menerima sisa buangan bermula Disember ini, manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan melakukan pemantauan keberkesanan proses tersebut.

“Kita tidak mahu melaksanakan sekaligus di semua stesen minyak disebabkan kita juga ingin tahu risiko (jika bahan elektronik dibuang di situ).

“Stesen minyak petrol adalah kawasan yang sensitif dan kita mahu lihat apa jenis barang elektronik yang sesuai dibuang.Pihak stesen minyak juga ingin tahu bahan elektronik yang sesuai dibuang di premis mereka hasil projek perintis ini,” ujarnya.

Katanya lagi, bahan e-waste yang terkumpul akan sentiasa dikutip bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini di kawasan stesen minyak terbabit.

Related Articles

Back to top button