Global

Starlink milik Elon Musk akan sokong akses internet di Gaza

Jutawan Elon Musk, menawarkan perkhidmatan satelit Starlink miliknya untuk menyambung akses internet Gaza, Palestin yang terputus hubungan dengan dunia luar akibat konflik Hamas-Israel.

Musk berkata, Starlink SpaceX akan menyokong hubungan komunikasi di Gaza untuk organisasi bantuan yang diiktiraf antarabangsa.

“Tiada terminal untuk sambungan komunikasi di Gaza.

“Starlink akan memberi sokongan kepada sambungan komunikasi kepada agensi bantuan di Gaza,” katanya menerusi platform X, semalam.

Semalam, tentera Israel meluaskan serangan udara dan darat mengakibatkan perkhidmatan telefon dan internet di Semenanjung Gaza lumpuh.

Sementara itu, Menteri Komunikasi Israel, Shlomo Karhi berkata, Israel akan menggunakan apa saja cara bagi menentang keputusan Musk itu.

“Hamas akan menggunakannya untuk aktiviti pengganas.

“Musk sepatutnya menyalurkan sokongan dan bantuan untuk pembebasan bayi, anak-anak dan warga emas yang diculik.

“Pejabat saya akan memutuskan sebarang hubungan dengan Starlink,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Kesihatan di Gaza mengesahkan angka korban di wilayah itu telah meningkat kepada 7,703 orang termasuk lebih 3,500 kanak-kanak setelah rejim Zionis memperhebatkan kempen pengeboman sejak beberapa hari lalu.- Reuters

Related Articles

Back to top button