Semasa

Usaha tingkat kesedaran keselamatan siber perlu dipergiat – Fahmi

Simulasi phishing boleh dilaksanakan sebagai usaha proaktif meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keselamatan siber dan ancaman scam, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Ditemui media selepas menghadiri Jelajah Anti-Scam Kebangsaan 2023 peringkat Sabah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, Fahmi mencadangkan simulasi itu susulan kes jenayah scam dan penipuan dalam talian masih lagi tinggi sekali gus menjadi masalah serius di negara ini.

“Saya akan bincang dengan beberapa pihak dalam Gabungan Bertindak Anti-Scam (GBAS) untuk kita laksanakan seawal mungkin. Ini akan membantu untuk meningkatkan kesedaran (mengenai keselamatan siber dan ancaman scam).

“Isunya ialah apabila kita bercakap tentang satu bentuk scam, mungkin minggu depan atau petang ini (akan) direncana scam baharu (oleh penjenayah siber). Ini antara kekangan kita kerana mereka terlalu kreatif.

“Justeru, kami sedang teliti daripada beberapa aspek. Saya berpandangan, bergantung harap kepada siri jelajah (bagi meningkatkan kesedaran tentang keselamatan siber dan ancaman scam) sahaja belum mencukupi (dan) boleh dirancakkan dengan beberapa cara lain,” katanya.

Terdahulu, Fahmi ketika berucap berkata pusat tindak balas insiden keselamatan siber Cyber999 kendalian CyberSecurity Malaysia merekodkan sebanyak 4,381 insiden keselamatan siber bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai jenayah penipuan dalam talian, beliau memaklumkan golongan usia antara 17 hingga 40 tahun paling ramai menjadi mangsa.

“Oleh itu, pelbagai usaha, inisiatif serta kempen berkaitan dengan scam dan penipuan dalam talian perlu dipergiat dan diperluaskan kepada seluruh lapisan masyarakat dengan pendekatan lebih kreatif dan komprehensif,” katanya.

Related Articles

Back to top button