Uncategorized

Institusi diraja relevan di Malaysia, imbangi pentadbiran negara – TMJ

Institusi diraja di Malaysia masih relevan untuk memberi keseimbangan dalam pentadbiran negara, kata Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurutnya, berbanding ahli politik, institusi diraja tidak perlu mengejar populariti mahupun menjadi populis.

“Jika Malaysia berubah kepada sebuah negara pelampau kanan, saya tidak fikir mana-mana ahli politik akan menentang perkara itu kerana mereka memerlukan nombor.

“Dia perlukan nombor… dia perlukan rating… dia perlu sokongan, tetapi kami (institusi diraja) tak perlukan nombor,” katanya ketika berkongsi pandangan dalam program Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaludin dan Shahril Hamdan.

Tambah Tunku Ismail, jika dilihat ketika perubahan kerajaan pada tahun 2018, kerajaan negeri Johor melalui banyak perubahan daripada segi ekonomi.

“Saya bagi contoh Hospital Sultanah Aminah. Satu daripada bilik unit jagaan rapi (ICU) terbakar dan Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Johor menggunakan duit sendiri untuk memperbaiki bahagian tertentu itu.

“Bagi saya sistem raja atau sistem monarki masih relevan tetapi kita perlu mengubah cara kita dan dekatkan diri dengan rakyat,” katanya.

Tunku Ismail memberi contoh atur cara majlis yang lebih rasmi tidak semestinya memerlukannya bertitah secara rasmi.

“Saya suka dengan cara santai. Katakanlah saya pergi Kota Tinggi atau saya pergi ziarah mana-mana daerah, saya suka duduk dekat warung dengan pakcik-pakcik, tanya pak cik macam mana (keadaan) dekat sini dan saya suka bertanya kerana saya sendiri nak tahu macam mana saya boleh membantu mereka,” jelasnya.

Tunku Ismail tidak menyalahkan rakyat yang merasakan institusi diraja tidak menjalankan tugas kerana tidak menyedari apa yang berlaku di peringkat rakyat.

“Tanpa podcast seperti ini, saya tidak dapat memberitahu rakyat apa yang kami (institusi diraja) sudah dan akan lakukan untuk rakyat ataupun saya tidak lantang bersuara atau mendidik rakyat tentang peranan kami, apa sumbangan yang kami dah beri kepada rakyat? Rakyat tak akan tahu.

“Jadi sebab itulah saya rasa sangat penting untuk institusi diraja mendekati rakyat dikekalkan,” katanya.

Related Articles

Back to top button