Semasa

KKM gerak pelan advokasi kurangkan pengambilan gula

Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menggerakkan Pelan Advokasi Mengurangkan Gula sebagai satu inisiatif mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pelan itu, yang turut merangkumi ‘Kempen Kurangkan Gula’ bermatlamat meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia tentang pengambilan gula berlebihan dan dapat mengawal pengambilannya secara harian.

“Pelan ini juga merangkumi kempen kurangkan gula kepada pengusaha gerai yang menjual minuman di Medan Selera di seluruh Wilayah Persekutuan Putrajaya.

“Saya difahamkan, semua pengusaha minuman di medan selera sekitar Putrajaya telah bersetuju melaksanakan penggunaan satu sudu teh gula sahaja bagi setiap minuman yang dipesan,” katanya dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Kempen Kurangkan Gula 2023 peringkat Kebangsaan di Medan Selera Presint 16 pada Ahad.

Teks ucapan Dr. Zaliha dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, Datuk Zainal Alhakab Seman.

Sementara itu Dr Zaliha berkata terdapat beberapa pengusaha minuman yang telah lama memulakan inisiatif pengurangan gula dalam minuman.

“Dalam hal ini, penghargaan dan pujian saya tujukan kepada pengusaha minuman di Medan Selera Presint 16 serta yang lain iaitu medan selera di Presint 8, Presint 9, Presint 11, Laman Perdana Presint 1, Laman Duta Presint 15 dan Trak Makanan Putrajaya yang menyahut cabaran dalam melaksanakan aktiviti mengurangkan gula di premis mereka.

“Saya berharap usaha yang sama dapat diteruskan di tempat lain. Pihak negeri juga diharapkan dapat menyebarkan pelaksanaan pengurangan gula ini di peringkat negeri masing-masing dengan memberi fokus kepada pengusaha minuman di gerai dan medan selera dengan kerjasama majlis perbandaran atau pihak berkuasa tempatan masing-masing,” tambahnya.

Melalui ucapannya juga, Dr Zaliha menegaskan, pengambilan gula berlebihan boleh mengundang pelbagai penyakit seperti obesiti, diabetes, karies gigi dan risiko mendapat penyakit tidak berjangkit.

Kajian pemerhatian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) jelasnya telah mendedahkan trend peningkatan penyakit diabetes iaitu dari 11.2 peratus (2011) kepada 13.4 peratus (2015) dan meningkat kepada 18.3 peratus (2019).

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyarankan setiap individu perlu mengambil tidak lebih 7.5 sudu teh gula sehari termasuk dalam minuman dan makanan lain dalam sehari,”tambahnya lagi.

Related Articles

Back to top button