Semasa

KPM salur RM100,000 baiki SMK Mushi Abdullah yang dibadai ribut

Bantuan segera berjumlah RM100,000 disalurkan Kementerian Pendidikan (KPM) kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah di Batu Berendam, Melaka yang rosak akibat dibadai ribut pada Sabtu.

EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata kelulusan itu diberikan selepas mendapat permohonan daripada Jabatan Pendidikan Negeri.

Katanya, kelulusan itu dimaklumkan kepada beliau oleh Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Kementerian Pendidikan, Karim Tumin.

“Saya dimaklumkan kerja-kerja pembaikan akan bermula esok oleh kontrakor yang dilantik Kementerian Pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan tujuh blok bangunan SMK Munsyi Abdullah yang menempatkan pejabat pentadbiran selain dua bilik guru dan lapan kelas mengalami kerosakan lebih 80 peratus susulan kejadian ribut kira-kira jam 2.30 petang.

Sementara itu tambahnya, beliau telah difahamkan bahawa sesi pembelajaran di sekolah berkenaan berjalan seperti biasa secara bersemuka untuk pelajar Tingkatan 5 dan 6.

Manakala jelasnya, bagi pelajar Tingkatan 1,2,3 dan 4 sesi pembelajaran diadakan secara bergilir mengikut sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

“Untuk minggu ini bermula esok, pelajar yang hadir mengikuti sesi pembelajaran secara bersemuka adalah Tingkatan 4, 5 dan 6 sementara pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 dari rumah,” katanya.

Susulan kejadian itu juga, pasukan sukarelawan Jabatan Pendidikan Negeri akan hadir membantu kerja-kerja pembersihan di sekolah berkenaan.

Related Articles

Back to top button