Negeri

Selangor komited pastikan tiada pihak terpinggir dari faedah kebajikan dan pembangunan

Kerajaan Negeri Selangor mengulangi komitmen mereka untuk memastikan tiada mana-mana pihak di negeri itu terpinggir daripada menerima kebajikan dan pembangunan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pentadbiran negeri diketuainya akan memastikan semua pihak diberi layanan adil mengikut perlembagaan.

Dalam masa sama, beliau berharap rakyat tidak mudah termakan hasutan pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menimbulkan sengketa dan perpecahan.

“Jangan mudah termakan api perkauman untuk pecah belahkan kita. Kalau kita rasa curiga dan timbulkan sengketa, akhirnya kita tidak akan maju dan mudah dipengaruhi pihak luar,” katanya.

Amirudin sebelumnya hadir ke Majlis Agihan Baucar Jom Shopping sempena perayaan Deepavali di Pasaraya Sri Ternak Selayang Baru pada Sabtu.

Pada program itu, sebanyak 400 baucar diagih kepada penerima terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi meringankan beban perbelanjaan menjelang perayaan.

Kerajaan Negeri Selangor melalui Belanjawan 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan mengikut komponen kaum yang bakal memanfaatkan 82,400 penerima.

Serahan bantuan dibuat melalui pusat khidmat masyarakat di kawasan masing-masing mengikut komponen utama kaum dan sambutan perayaan.

Related Articles

Back to top button