Umum

Subsidi ayam tamat Rabu ini, subsidi telur diteruskan – Mohamad

Kerajaan bersetuju agar subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan sepenuhnya bermula Rabu ini (1 November).

Manakala subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C akan diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.

Menurut Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu, rasional penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi di mana pada ketika ini ia turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.

“Ia (penamatan subsidi ayam) adalah selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa yang dilaksanakan kerajaan,” katanya dalam sidang media penamatan kawalan harga dan subsidi ayam di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamad berkata, penamatan subsidi ayam ini mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam yang telah mula stabil, sekaligus menyumbang kepada harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang akan diapungkan terus berada pada kadar yang munasabah.

“Kerajaan meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara bagi memberikan pilihan dan jaminan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan di bawah harga siling semasa.

“Di samping itu, melalui sesi libat urus bersama pemain industri pada 22 Oktober 2023, kerajaan telah mendapatkan komitmen daripada pihak industri supaya harga ayam di ladang yang dikeluarkan tidak mencatatkan kenaikan yang ketara sehingga membebankan pengguna,” katanya.

Related Articles

Back to top button