Semasa

Video dakwa Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah retak adalah palsu

Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan struktur Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) retak.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital Zairil Khir Johari berkata pihaknya telah pun membuat semakan bersama Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) berhubung dakwaan yang tular di media sosial sejak semalam itu.

Semakan itu mendapati kejadian bukan berlaku di jambatan tersebut, sebaliknya adalah video lama yang berlaku di luar negara sekitar tahun 2014.

“Sedang tular di kumpulan-kumpulan WhatsApp berkaitan video kononnya Jambatan Pulau Pinang telah retak seperti di dalam video tersebut.

“Semakan mendapati video tersebut merupakan video lama dan insiden jambatan retak tersebut berlaku di luar negara sekitar tahun 2014,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya.

Sehubungan itu, Zairil berharap orang ramai supaya berhenti menularkan video berkenaan atau sebarang berita tidak sahih kerana dikhuatiri akan hanya menimbulkan ketakutan kepada masyarakat.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 27 saat tular di media sosial yang dirakam seorang individu mendakwa struktur JSAHMS retak dan meminta pengguna jambatan itu supaya berhati-hati.

Related Articles

Back to top button