Semasa

KPDN sita mesin bungkus beras, rampas diesel disimpan tanpa permit di Kedah

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah dilapor melakukan sitaan kepada sebuah mesin pembungkus beras di sebuah kilang beras di Mergong dekat Alor Setar.

Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth melalui satu kenyataan pada Isnin berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya mendapati mesin yang digunakan untuk membungkus beras terbabit disyaki tidak ditentusahkan.

“Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM35,000 dan kesalahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972.

“Sekiranya disabitkan kesalahan di bawah akta yang sama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Terdahulu Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih dengan disertai Kawalselia Beras dan Padi (KPB), polis dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menjalankan pemeriksaan terhadap premis berkenaan.

Sementara itu, sebuah kilang beras di Simpang Empat turut diambil tindakan kerana menyimpan barang kawalan iaitu minyak diesel tanpa memiliki permit yang sah.

Affendi Rajini berkata, sewaktu pemeriksaan, penguat kuasa KPDN turut menemui sebuah skid tank yang mengandungi diesel dalam anggaran 6,000 liter dan 3,000 liter di dalam tiga unit IBC Tank

“Nilai rampasan bagi minyak diesel dianggarkan berjumlah RM28,800 manakala nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM29,400.

“Siasatan dilakukan mengikut Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana pelanggaran Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Beliau sementara itu menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti penyelewengan barang kawalan ini.

Related Articles

Back to top button