Mahkamah

Mahkamah arah Papagomo padam pernyataan fitnah terhadap menteri agama

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar pada Isnin berjaya mendapat perintah mahkamah agar satu hantaran berbaur fitnah oleh seorang blogger pro Perikatan Nasional (PN) dipadam.

Menurut peguam, Datuk Akberdin Abdul Kadir, perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong selepas membenarkan permohonan tersebut pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini.

Defenden Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo dan ejennya juga dikenakan perintah injunksi agar tidak mengulangi sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap menteri itu dalam apa jua cara di mana-mana medium.

Pada 19 Oktober lalu, Mohd Na’im selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu dengan menamakan Papagomo sebagai defendan tunggal.

Blogger terbabit, pada 18 September lalu didakwa telah memuat naik satu video berdurasi enam minit 41 saat diambil daripada akaun “Tiktok “@nurhafizulbadrulhisham” ke Facebook miliknya, Sir Azri dengan kapsyen berbaur fitnah yang didakwa merujuk kepada Mohd. Na’im.

Video tersebut merupakan merupakan satu video reaksi (reaction) oleh individu bernama Nurhafizul Badrul Hisham terhadap satu ulasan yang berkenaan tindakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How.

Kapsyen berbaur fitnah tersebut antara lain telah menggambarkan Mohd. Na’im mempunyai kes berkaitan tuduhan seksual adalah seorang penunggang agama yang tidak cakna dengan kestabilan masyarakat Melayu yang beragama Islam di negara ini selain menggambarkan plaintif bahawa beliau selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak membuat atau melakukan apa-apa tindakan positif bagi kesejahteraan agama Islam.

Kenyataan berbaur fitnah itu juga telah menjejaskan reputasi, merosakkan martabat, menjatuhkan maruah dan merendahkan status diri Mohd Na’im di mata masyarakat umum.

Sementara itu tambah Akberdin, mahkamah menetapkan 7 November ini sebagai tarikh pendengaran injunksi inter-parte (kedua-dua pihak).

Related Articles

Back to top button