Umum

Pengurangan duti hiburan galak pertumbuhan sektor taman tema – MATFA

Pengurangan lima peratus kadar duti hiburan untuk taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan ‘indoor’ dan simulator seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini, akan menggalakkan pertumbuhan sektor berkenaan dengan teknologi inovatif dan termaju.

Presiden Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga (MATFA), Tan Sri Richard Koh berkata, pakej insentif itu mendorong pelaburan semula untuk menaik taraf tarikan baharu serta mengekalkan capaian mampu milik bagi masyarakat.

“Orang ramai selalu mahukan inovasi baharu dan cara riadah yang lebih baik terutamanya taman tema, untuk keluar daripada rutin harian tekanan kerja dan menghabiskan masa berkualiti.

“Pemaju swasta sebenarnya telah mengambil alih peranan kerajaan tempatan dalam menyediakan aktiviti rekreasi untuk keluarga.

“Seperti sebelum ini, kerajaan tempatan pernah meminta peruntukan besar daripada kerajaan Persekutuan untuk membina kompleks rekreasi seperti kolam renang untuk rakyat.

“Kerajaan negeri harus menumpukan kepada cukai yang patut dikenakan di saluran lain berbanding di sektor rekreasi dan hiburan keluarga,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata kerajaan perlu melihat taman tema sebagai penyelesaian untuk sosial, budaya, ekonomi dan peluang pekerjaan dan sebagai satu daripada pembangunan pelancongan terkemuka untuk pelancong tempatan dan antarabangsa.

“Kami dengan rendah hati memohon kerajaan Persekutuan untuk mengambil langkah lebih jauh dan menghapuskan cukai duti import sebanyak 30 peratus bagi mengimport taman tema serta mesin dan peralatan untuk tarikan pengguna.

“Hal ini akan lebih berkesan sebagai satu pakej penuh yang akan diperkenalkan untuk memperkasakan sektor berkenaan kerana tiada pengeluar peralatan tunggangan taman tema di Malaysia untuk melindungi aset itu,” katanya.

Selain itu, Koh berkata industri taman tema perlu diiktiraf sebagai tanggungjawab sosial oleh kerajaan dengan menyediakan infrastruktur yang baik dan tidak dikaitkan dengan Akta Duti Hiburan 1953 yang sudah lapuk.

“Memandangkan kita juga diminta untuk memohon permit polis apabila membuat permohonan untuk taman tema dan lesen pengusaha riadah, kesimpulannya kita berada dalam kategori yang salah di bawah akta itu.

“Taman tema ialah 100 peratus berorientasikan keluarga dan seharusnya bebas cukai, bukannya cukai berganda bagi tiket masuk serta membayar cukai pendapatan,” katanya. – Bernama

Related Articles

Back to top button